“Satu analisis Gagasan Idea Mandailing Nusantara yang mendukung cita-cita Mandailing Raya Seantero Dunia”
MANDAILING satu perjuangan yang belum selesai adalah satu topik yang kontroversial dan menimbulkan pelbagai persoalan. Apakah yang masih belum selesai diperjuangkan?
Untuk memperjelaskan secara detil izinkan saya menyorot kembali segala peristiwa silam bagi mencerminkan masa hadapan kita.
Pertama, kekalahan tentera gabungan Paderi dan Mandailing di Bukit Nanas pada 1873 adalah satu pukulan maut terhadap cita-cita agung orang Mandailing untuk membina sebuah Harajaon Mandailing di perantauan Tanah Melayu.
Kekalahan tersebut telah mengakibatkan orang-orang Mandailing menjadi orang buruan askar Pahang dan Selangor. Apakah akibat atau kesannya terhadap peristiwa tersebut?
i. Untuk menyelamatkan diri, kaum Mandailing telah berundur dan mencari perlindungan di Negeri Perak Darul Ridzuan, khasnya di Changkat Piatu, Gopeng, Air Kuning, Banir, Ulu Slim dan lain-lain tempat.
ii. Oleh kerana berita pembunuhan ke atas orang-orang Mandailing di Semenyih, Selangor telah tersebar luas maka saki baki orang Mandailing merasa takut dan bimbang terhadap kekejaman askar Pahang dan Selangor. Mereka juga merasa ngeri terhadap kekejaman askar awam Pahang dan Selangor yang ingin membalas dendam terhadap orang Mandailing. Atas sebab-sebab itu maka kebanyakan orang Mandailing menghilangkan identiti mereka dengan menggugurkan marga dan nama asal mereka. Oleh yang demikian orang-orang Mandailing dan anak cucu mereka di Tanah Melayu tidak lagi menggunakan marga masing-masing.
iii. Apabila Inggeris berkuasa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor telah menetapkan bahawa orang-orang Mandailing tidak boleh memiliki harta benda ataupun memegang sebarang jawatan kerajaan di dalam Negeri Selangor. Keadaan tersebut telah menyulitkan kedudukan orang Mandailing di Tanah Melayu kerana mereka bimbang negeri-negeri Melayu yang lain juga akan mengikut jejak langkah Negeri Selangor.
iv. Keadaan memaksa mereka (orang-orang Mandailing) supaya menggugurkan seluruh budaya hidup, adat istiadat perkahwinan dan seni budaya untuk selamat dari keadaan. Permainan Gordang telah lenyap begitu sahaja. Gendang Boru tidak lagi berbunyi walaupun di acara perkahwinan anak cucu mereka, pakaian pengantin tidak lagi digunakan dan segala sesuatu yang berkaitan dengan Mandailing lenyap begitu sahaja. Bahkan nama Mandailing itupun jarang sekali digunakan kecuali di kalangan kaum keluarga mereka sahaja. Orang ramai pada masa itu sudah tidak mengetahui mengenai Mandailing sama sekali. Hanya yang tinggal ialah cerita dan peristiwa kekalahan kaum Mandailing di Bukit Nanas pada 1873. Semua ini dilakukan oleh orang Mandailing itu sendiri.
v. Asas budaya Dalian Na Tolu telah lenyap dari konsep amalannya. Bahasa Mandailing hanya digunakan di kalangan ahli keluarga sahaja dan tulisan tuluk-tuluk langsung tidak digunakan lagi. Pendek kata, semua yang terbabit dengan nama Mandailing itu dilenyapkan supaya tidak ada kesannya lagi.
vi. Walaupun terdapat penempatan-penempatan kaum Mandailing di Tanah Melayu tetapi tidak satupun yang dinamakan sebagai Kampung Mandailing. Nama dan perkataan Mandailing menjadi “taboo” dan takut digunakan oleh orang Mandailing itu sendiri sehinggalah Inggeris mulai campurtangan di dalam Negeri-Negeri Melayu yang membawa pemerintahan Inggeris ke atas Semenanjung Tanah Melayu. Walau bagaimanapun keadaan ini tidak banyak berubah.
vii. Perasaan bimbang dan takut sentiasa menghantui kehidupan masyarakat Mandailing. Tanpa disedari ianya menular kepada anak cucu mereka ke hari ini. Maka itulah setelah sekian lama apabila timbul sahaja cadangan mewujudkan Kampung Mandailing di Changkat Piatu kita dapati masyarakat Mandailing begitu pasif dan ada pula yang bersikap negatif lalu menentangnya. Perasaan bimbang dan takut dari satu generasi ke satu generasi kembali menghantui mereka tanpa disedari mereka terus menjadi panik dan tidak tentu arah walhal terdapat banyak kampung yang dinamakan atas dasar suku kaum seperti Kampung Jawa, Kampung Banjar, Kampung Kerinci, Kampung Boyan, Kampung Bugis, Kampung Rawa, Kampung Serani, Kampung Keling dan sebagainya. Namun begitu belum ada satupun nama Kampung Mandailing!!
viii. Walaupun terdapat kampung-kampung yang didiami oleh orang-orang Mandailing sahaja tetapi tidak sesiapapun yang berani menamakan kampung mereka sebagai Kampung Mandailing. Inilah yang sangat menyayat hati Baginda Raja Mandailing.
ix. Nama Mandailing itu seolah-olah sengaja dilenyapkan oleh orang Mandailing itu sendiri, bahkan orang Mandailing itu sendiri sudah tidak mahu mengaku dirinya sebagai orang Mandailing. Mereka merasa segan dan silu justeru mereka lebih senang mengaku dirinya sebagai orang Melayu sahaja.
xi. Sehingga hari ini, walaupun sudah 127 tahun berlalu sejak 1873 peristiwa di Bukit Nanas namun orang Mandailing masih lagi tidak berani menampilkan identiti mereka. Contohnya kedai-kedai orang Mandailing tidak dinamakan dengan Toko Mandailing atau Kedai Mandailing, ataupun dinamakan Restoran Mandailing, Rumah Makan Mandailing. Berbeza dengan suku kaum yang lain yang bangga dengan nama kedai-kedai mereka. Umpamanya terdapat kedai yang dinamakan Toko Jawa, Restoran Jawa, Restoran Rawa, Kedai Makan Minang dan sebagainya. Malangnya tidak ada yang berani menamakannya dengan nama Mandailing. Begitulah hebatnya pukulan maut di Bukit Nanas 1873 yang telah menghancur leburkan seluruh impian dan cita-cita Mandailing di rantau ini.
D.Y.T.M. Sang Paduka Baginda Mangaraja Mandailing Tuanku Drs. Mohd. Fadzlan Nasution seorang putera Mandailing melihat keadaan ini dengan hati yang berat dan tidak senang sekali. Baginda terus membangkitkan isu MANDAILING ini dengan menuntut supaya Changkat Piatu di Batu Gajah, Perak Darul Ridzuan dikembalikan kepada orang-orang Mandailing. Baginda juga telah mengisytiharkan bahawa Changkat Piatu adalah mercu tanda suku kaum Mandailing di Tanah Melayu.
Bagaikan halilintar membelah bumi isu tersebut bergema di dalam akhbar tempatan dalam tahun 1993. Perkara tersebut kemudian dibangkitkan oleh Baginda di dalam Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan sehinggalah ianya mendapat perhatian Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Berbagai kencaman dan tohmahan telah dilemparkan terhadap Baginda Raja, tidak kurang pula fitnah yang menimpa Baginda, khususnya dari kalangan orang Mandailing itu sendiri.
Dengan izin Allah Yang Maha Berkuasa segala cadangan dan pandangan Baginda telah mendapat sambutan dan tindakan dari Kerajaan Negeri. Sudah tentu perkara ini menimbulkan ramai orang yang sakit hati.
Melihatkan keadaan masyarakat Mandailing yang lesu dan tiada sebarang usaha untuk menampilkan peranan mereka di dalam menghadapi tentangan zaman, maka Baginda dan Lembaga Adat Mandailing Malaysia (LAMA) telah mengemukakan satu Gagasan Idea Mandailing Nusantara pada 27-7-1993. Baginda kemudiannya telah cuba menghubungi tokoh-tokoh Mandailing di seluruh Nusantara untuk bersatu dalam usaha mengangkat mertabat serta maruah kaum Mandailing di pentas dunia ini.
Pada 23-1-2000 dengan izin Allah Yang Maha Berkuasa, satu Perisytiharan Muara Sungai Pinji telah diikrarkan oleh masyarakat Mandailing di Changkat Piatu tepat jam 12.00 tengah hari. Ikrar tersebut telah dipimpin oleh Baginda sendiri berserta Yth. Bapak Drs. Hj. Samsji B. Nasution, Yth. Bapak Hj. Pandapotan Nasution S.H. gelar Patuan Kumala Pandapotan.
Perisytiharan tersebut menjanjikan kebangkitan semula kaum Mandailing setelah 127 tahun ditewaskan di Bukit Nanas, Kuala Lumpur pada 1873.
Mengikut pandangan Baginda, kebangkitan semula kaum Mandailing itu hendaklah dilakukan di seluruh Nusantara bagi mengisi segala kekurangan yang terdapat di dalam masyarakat Mandailing itu sendiri.
(a) Baginda berpendapat sebelum orang Mandailing itu dapat bergerak maju ke hadapan, mereka hendaklah didedah dan diperkenalkan kepada sejarah dan budaya hidup mereka yang lalu. Segala nilai kebaikannya hendaklah dijadikan contoh teladan dan segala keburukannya hendaklah dijadikan sempadan.
(b) Mengisi keyakinan diri dengan ilmu pengetahuan khasnya mengenai kaumnya sendiri agar mereka tidak lagi merasa rendah diri dan serba kekurangan untuk menghadapi tentangan zaman moden dan dunia globilisasi kini.
(c) Pemulihan adat istiadat dan budaya hidup Dalian Na Tolu agar generasi yang akan datang tidak melupakan cara hidup yang telah diatur oleh nenek moyang kita.
(d) Pakaian adalah satu-satunya identiti kaum yang dapat dinilai secara fizikal maka itu adalah sangat mustahak bagi kita untuk memulihkan penggunaannya. Kain tenunan Patani yang sudah kian lama tidak kelihatan hendaklah dicetak semula dan diusahakan sabagai satu “Cottage Industry” di setiap kampung di Tanah Mandailing itu sendiri. Usaha menenun kembali kain adat ini hendaklah dijadikan agenda utama di dalam kebangkitan semula kaum Mandailing di Nusantara ini.
(e) Penggunaan peralatan adat istiadat perkahwinan Mandailing juga hendaklah dijadikan satu perusahaan di Tanah Mandailing. Segalanya hendaklah kembali kepada yang asli, jangan lagi kita meminjam dari orang lain walaupun dari Sipirok sekali.
D.Y.T.M. Tuanku Drs. Mohd. Fadzlan Nasution telah melahirkan Gagasan Idea Mandailing Nusantara dengan tujuan memusatkan fikiran, pandangan, tenaga, harapan dan cita-cita kaum Mandailing seluruhnya kepada objek pembangunan mental, rohaniah dan jasmaniah bagi mencipta sebuah lambang atau tugu pembangunan untuk menzahirkan impian tersebut.
Impian yang dimaksudkan ialah pembinaan sebuah Kompleks Budaya Mandailing yang direncanakan di Changkat Piatu, Batu Gajah, Perak Darul Ridzuan, Malaysia. Ini adalah langkah pertama semata-mata bagi menggerak dan membangkitkan kesedaran serta dorongan kepada kaum Mandailing.
Kompleks tersebut pada dasarnya sebuah istana yang lengkap dengan bangunan dan struktur adat istiadat Mandailing. Ianya akan menjadi mercu tanda dan kebanggaan masyarakat Mandailing di seluruh Nusantara dalam menghimpunkan segala cita-cita, harapan, azam dan impian kita semua dan di sanalah jua terkumpul seluruh manifestasi perjuangan yang dicadangkan untuk masyarakat Mandailing.
Sebagaimana yang kita semua ketahui apabila siapnya Kompleks Budaya Mandailing ataupun sebuah Perkampungan Budaya Mandailing di Changkat Piatu yang lengkap dengan struktur adat istiadat, dengan Rajanya, Namora Natoras, Dalian Na Tolu, peralatan adat istiadat Gordang Sembilan, Gendang Boru dan sebagainya maka wujudlah satu wilayah budaya yang dikatakan Baginda sebagai sebuah Provinsi.
Kompleks Budaya tersebut akan dilengkapi dengan Bagas Godang atau Istana, Sopo Godang, Bagas Tamu, Sopo Eme, Gelanggang Silat dan sebagainya yang akan mencerminkan nilai-nilai hidup adat istiadat Mandailing. Semua ini akan menguatkan rasa jatidiri dan keyakinan kepada masyarakat kita untuk tampil dan mendabik dada sebagai orang Mandailing yang tidak kurang warisan budayanya. Pada masa ini belum ada sebuah pun perkampungan Mandailing yang lengkap dari semua aspek yang dapat ditonjolkan untuk kebanggaan atau tontonan masyarakat kita sendiri, apatah lagi hendak dijadikan produk parawisata/ pelancongan.
Menurut Baginda dari sinilah semangat dan azam kaum Mandailing akan bangkit kembali untuk melengkapi sesuatu kekurangan yang selama ini terbiar tanpa dibela.
Wilayah budaya atau provinsi yang dimaksudkan oleh Baginda adalah berasaskan budaya semata-mata, ianya sama sekali tidak melibatkan masalah geopolitik atau autonomi.
Wilayah budaya atau provinsi boleh dimulakan di mana-mana sahaja mengikut kemampuan masyarakat Mandailing setempat. Pokoknya provinsi tersebut hendaklah dilengkapi dengan semua struktur adat istiadat serta keperluanmya. Idea ini hendaklah dikembangkan dan ianya merupakan satu cabaran kepada masyarakat Mandailing untuk melaksanakannya di seluruh Nusantara.
Apabila masyarakat Mandailing telah berjaya membina wilayah budaya atau provinsinya di dalam sesebuah masyarakat asing seperti di Malaysia, Jakarta, Singapura, Selatan Filipina atau di Selatan Patani tentulah kejayaan ini akan meletakkan mereka pada kedudukan yang disegani dan dikagumi di samping dapat mengangkat martabat dan maruah mereka sendiri. Semua wilayah budaya atau provinsi ini bila berjaya dibina di seluruh Nusantara ianya akan menjadi “contact point” atau pusat komunikasi bagi menjalin hubungan kerjasama serantau dalam kegiatan seni budaya, kegiatan perdagangan dan perniagaan. Inilah yang dikatakan sebagai kebangkitan Mandailing Nusantara.
Sudah tentulah di dalam perhubungan kerjasama tersebut akan timbul berbagai idea pembangunan spiritual atau fizikal yang akan membantu kita untuk lebih maju. Penekanan terhadap ilmu pengetahuan, kepakaran dalam bidang ekonomi serta kemahiran dalam semua bidang hendaklah dijadikan pokok perbincangan utama di dalam melaksanakan program dan agenda kebangkitan semula ini.
Untuk tujuan tersebut sebuah Badan Pengurus Mandailing Nusantara hendaklah diwujudkan bagi mengemblengkan seluruh tenaga fikir, tenaga kerja, tenaga ilmiah, tenaga seni budaya dan sebagainya bagi mencari jalan supaya semua program dan agenda pembangunan Kompleks Budaya Mandailing di seluruh Nusantara dapat diwujudkan.
Selain dari itu Badan Pengurus berperanan mengumpulkan dan mengeksploitasi segala sumber yang ada pada orang Mandailing sama ada berbentuk fizikal atau spiritual sebagai satu aset untuk menjana kejayaan projek yang dibincangkan, dipersetujui bersama dan dilaksanakan.
Pastinya Badan Pengurus tidak dapat kita pisahkan dengan keperluan menggerakkan jentera ekonomi, perdagangan, perniagaan dan pertanian dikalangan masyarakat Mandailing. Kemampuan kita memenuhi segala cita-cita dan perjuangan adalah bergantung penuh kepada kemampuan kita mengumpulkan dana untuk mencapai sesuatu tujuan.
Penguasaan terhadap bidang ekonomi, perniagaan, perdagangan dan perusahaan, pengeluaran dan perkhidmatan adalah asas terpenting kepada keperluan pembangunan sesebuah masyarakat. Walau bagaimanapun kita tidak dapat memisahkan kebangkitan seni budaya dengan keperluan dan pembangunan ekonomi. Kedua-duanya perlu dikendalikan secara serentak dan seirama.
Justeru itu sebuah Dewan Perdagangan dan Perniagaan Mandailing Nusantara hendaklah ditubuhkan bagi mengendalikan kerjasama perdagangan dan perniagaan orang-orang Mandailing di seluruh Nusantara.
Kendatipun, tumpuan terhadap pembangunan ekonomi semata-mata tanpa menitikberatkan pertalian dan perikatan budaya akan melahirkan seorang insan yang berjiwa kosong tanpa roh atau seperti pohon tanpa akar umbi dan akar tunjang yang kukuh. Bangsa Jepun dan Korea jauh lebih maju dari kita tetapi mereka tidak pernah mengabaikan adat budaya mereka. Pakaian, lukisan. tulisan dan cara mereka makan dapat dikekalkan tanpa mengurangi pencapaian dan kejayaan mereka di dalam zaman moden ini. Cuba kita perhatikan apabila kita masuk ke pejabat/ kantor orang Jepun atau Korea, secara automatis kita mengetahui pejabat yang kita masuk itu adalah pejabat/ kantor orang- orang Jepun atau Korea. Begitu kuat sekali pengaruh budaya mereka sehingga restoran Jepun atau Korea menjadi kebanggaan orang untuk menjamu selera di sana.
Baginda tidak mahu lihat orang Mandailing yang telah maju tetapi lupa diri sehingga sanggup menghina dan mencerca peradaban nenek moyang mereka; seolah-seolah mereka itu datang dari bintang Marikh dan tidak berpijak di atas bumi nyata. Ada pula yang terlalu idealisma dan universal sikapnya; ketika berbicara bagaikan seorang nabi yang baru diutuskan ke dunia. Begitulah lagaknya segelintir orang Mandailing yang akhirnya merosakkan struktur budaya dan peradaban hidupnya sendiri.
Baginda melihat sifat dan sikap yang dipengaruhi dari elemen asing ini adalah kerana kelemahan jatidiri dan tidak berkeyakinan kepada kaum bangsanya sendiri. Kelemahan ini bersifat peribadi dan bukan kelemahan kepada kekuatan budaya bangsa keseluruhannya. Fenomena ini perlu diperbaiki agar sifat dan sikap berunsur negatif ini tidak dimiliki orang-orang Mandailing. Bak kata pepatah Melayu “Cerdik tidak boleh diikut, bodoh tidak boleh diajar”.
Anak-anak kita perlu mengenali sejarah Mandailing dan budaya hidup Dalian Na Tolu supaya mereka lebih memahami nilai-nilai hidup kita yang lebih murni serta menghayati perjuangan wira-wira Mandailing. Sikap memuja wira-wira asing hendaklah dikikis dari jiwa anak-anak Mandailing. Penghayataan dan pengertian kepada perjuangan wira bangsa akan dapat memberikan kefahaman untuk mengikat jiwa mereka sebagai putera Mandailing yang sejati.
Berdasarkan kepada pengertian di ataslah maka Baginda telah mencadangkan agar penulisan dan pengkajian sejarah Mandailing yang menyeluruh dilakukan.
Sejarah adalah satu asas yang penting bagi mengisi dan mengasuh kekuatan diri kita. Oleh itu, sejarah merupakan senjata yang ampuh di dalam kebangkitan semula kaum Mandailing di rantau ini. Ianya perlu dimanfaatkan untuk kepentingan dan sesinambungan perjuangan bangsa Mandailing di alaf baru tahun 2000 ini.
Menurut Baginda setiap tumbuhan itu bermula dari benihnya. Sekiranya benihnya baik tentulah hasilnya baik. Dari benih akan menjadi tunas, kemudiannya membesar sebagai anak pokok. Selepas itu barulah hidup sebagai sepohon pokok yang akan berbunga, berputik dan menghasilkan buah. Buah tersebut adalah hasil yang diasuh dibelai dan dijaga dari benih tadi.
Baginda telah menyemaikan benih perjuangan untuk kita orang-orang Mandailing di Nusantara ini, maka terpulanglah kepada kita untuk meneruskan dan melengkapkan Perjuangan Yang Belum Selesai ini. Asasnya telah disediakan, hanya kelangsungan dan kesinambungannya hendaklah direalisasikan dan dilaksanakannya.
Baginda telah mengorak langkah pertama. Dengan daya usaha Baginda terbinalah sebatang jalan raya yang dinamakan JALAN BAGINDA MANGARAJA MANDAILING sejauh 4.5 kilometer dari Batu Gajah ke Changkat Piatu di mana sebuah KOMPLEKS BUDAYA MANDAILING yang terbesar di Nusantara ini akan dibina. Kompleks tersebut terletak di bawah makam seorang panglima Mandailing yang sangat terkenal di Tanah Melayu iaitu Tuanku Raja Asal Nasution yang dimakamkan di atas sebuah changkat (bukit kecil) yang tegak megah di antara pertemuan Sungai Pinji dan Sungai Kinta.
Sebuah sopo telah dibina di atas puncak Changkat Piatu sebagai tanda pertama kebangkitan semula kaum Mandailing di Tanah Melayu. Kawasan tersebut telah diisytiharkan oleh Baginda sebagai Tanah Adat Mandailing yang pertama di Tanah Melayu. Luasnya kira-kira 25 ekar mengelilingi Makam Tuanku Raja Asal Nasution di Changkat Piatu.
Adalah menjadi harapan Baginda dengan terbinanya Jalan Baginda Mangaraja Mandailing akan muncullah Kompleks Budaya Mandailing yang dicita-citakan. Dari sana nanti akan muncul pula Kampung Mandailing, seterusnya Masjid Mandailing, Dewan Besar Mandailing, Restoran Mandailing, Toko Mandailing; bahkan Baginda berharap akan muncul pula Hospital Mandailing yang pertama di Tanah Melayu. Semua ini adalah untuk mengangkat martabat dan maruah kaum Mandailing.
Apabila semua ini dapat dilaksanakan maka akan wujudlah sebuah Bandar Mandailing atau Kota Mandailing. Sekiranya orang Cina boleh mewujudkan CHINA TOWN di San Francisco, Amerika, London, Melbourne, Bombay dan sebagainya maka tidak ada sebab kenapa dan mengapa orang Mandailing tidak boleh mewujudkan sebuah MANDAILING TOWN ataupun wilayah budaya mereka di seluruh Nusantara ini, bahkan kita juga mampu mengaturnya di seluruh dunia.
Inilah yang sedang direncanakan oleh Baginda, mewujudkan satu rangkaian wilayah budaya di seluruh Nusantara sebagai pusat budaya dan “contact point” kaum Mandailing yang ada di mana-mana sahaja. Andainya semua ini dapat dilaksanakan secara teratur sudah tentu Mandailing dianggap besar pengaruh dan kuasanya. Inilah cita-cita Mandailing Seantero Dunia yang disarankan oleh Baginda.
Baginda juga menyarankan agar setiap tapak sejarah, makam bersejarah, dan apa sahaja yang berkaitan dengan sejarah orang Mandailing hendaklah dipelihara, dipugar dan dimuliakan sebagai mercu tanda dan kebanggaan kita semua. Riwayat dan cerita mereka hendaklah ditulis kembali dan diabadikan untuk generasi yang akan datang.
Sebenarnya Baginda telah berkali-kali menyarankan agar sejarah Mandailing ditulis kembali. Segala cerita rakyat, dongeng, lagenda atau mitos hendaklah diabadikan dalam bentuk tulisan dan dibukukan. Baginda menganggap bahawa semua ini adalah khazanah dan warisan yang perlu disampaikan kepada generasi yang akan datang untuk mengenali diri mereka sebagai orang Mandailing. Tulisan tuluk-tuluk adalah identiti kita yang unik yang perlu dipulihkan dan diajar kepada anak-anak kita agar ianya terus berkembang sebagai tulisan kedua atau ketiga di dalam keluarga orang Mandailing. Ini adalah satu kelebihan yang harus dipupuk dan dijaga sebagai harta pusaka yang tidak ternilai harganya.
Baginda juga menekankan tentang keperluan perhubungan dunia yang serba pantas lagi tanpa sempadan. Segala kemahiran, kebolehan, kepakaran dan kepandaian orang Mandailing hendaklah dipusatkan kepada penguasaan perhubungan internet dan kecanggihan teknologi IT bagi memperkukuhkan lagi Gagasan Idea Mandailing Raya Seantero Dunia. Komunikasi dan informasi di internet adalah sangat mustahak kepada kita dalam usaha meluaskan lagi wilayah pengaruh budaya orang Mandailing. Segala maklumat dan penerangan mengenai orang Mandailing hendaklah dimuatkan di dalam internet untuk penyebaran ke seluruh dunia.
Segala rencana, berita, maklumat atau informasi mengenai geografi/ ilmu alam, sejarah., seni budaya dan pengetahuan am mengenai Mandailing hendaklah dilengkapkan ke dalam internet. Sebuah Jawatankuasa hendaklah ditubuhkan khusus untuk menangani keperluan bersabit informasi dan internet.
Baginda sedar bahawa semua yang disarankannya memerlukan tenaga, masa dan dana yang banyak untuk menjayakannya. Namun Baginda berpendapat kita mestilah memulakannya pada tahap keupayaan kita yang ada selainnya akan diserahkan kepada generasi kita yang akan datang untuk menyempurnakannya. Apapun persoalannya kita telahpun memulakan gerakan Gagasan Idea Mandailing Seantero Dunia dan akan tetap meneruskannya sebagai wadah perjuangan yang tidak kunjung padam. Semoga generasi akan datang akan meneruskan kesinambungan perjuangan murni ini.
Inilah yang dimaksudkan SATU PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI yang diwar-warkan oleh Baginda kepada kita semua. Seandainya kita mempunyai harga diri dan rasa hormat kepada diri kita sendiri, sekiranya kita masih ada rasa tanggungjawab kepada keturunan dan generasi kita yang akan datang maka kita seharusnya menerima cabaran dan seruan Baginda untuk melengkapkan diri kita bagi mengisi segala kekurangan dan kekosongan yang terdapat di dalam masyarakat kita sendiri.
Kita harus mengenepikan segala permasalahan dan sengketa peribadi dan memusatkan segala tenaga fakir, kemahiran, kebolehan, kekuatan dan kelemahan kita bagi mengangkat kembali martabat dan maruah orang Mandailing.
Kita harus tampil ke hadapan dan menegaskan kepada diri kita sendiri bahawa kita ingin maju dan membina satu masa depan bersama, dengan lebih bererti dan cemerlang untuk generasi kita yang akan datang.
Walau bagaimanapun Baginda juga mengingatkan bahawa di dalam setiap perjuangan tersebut pasti akan ada ujian dan dugaan. Namun begitu semakin besar ujian dan dugaan yang dapat kita atasi maka semakin besarlah kemampuan kita terbukti. Oleh itu Baginda memperingatkan janganlah kamu semua gentar menghadapi segala ujian dan dugaan tersebut. Itulah bukti ukuran keupayaan dan kemampuan kamu nanti.
Di dalam setiap usaha untuk berbuat kebaikan itu pasti ada golongan yang tidak senang. Betapa baik sekalipun niat dan nawaitu kamu, golongan yang cuba menghanchurkan kamu itu pasti muncul. Begitu ramai yang menyokong kamu begitu jugalah yang akan menentang kamu. Semua ini hendaklah kamu terima dengan hati yang tenang dan terbuka.
Di antara perubahan besar di atas muka bumi ini ialah berlaku satu kemelut di mana terdapat badut-badut yang kerjanya tidak ada lain selain mencaci, mencerca, menghina, menjelek-jelekkan, mengumpat, mengutuk, membuat tohmahan dan fitnah berdasarkan tafsiran peribadi mereka sendiri. Sikap dan perangai ini juga tidak terlepas daripada masyarakat kita orang Mandailing. Mereka ini meliputi semua peringkat masyarakat dari golongan cendekiawan, profesional, ulamak, pegawai kerajaan, kerani dan kakitangan awam, rakyat dan orang biasa, semuanya tidak akan terlepas dari penyakit P.H.D. iaitu penyakit hasad dengki.
Mereka ini tidak akan mampu berbuat sesuatu sebagai sumbangan kepada masyarakatnya. Mereka hanya tahu mencela dan membuat berbagai kerenah yang tidak tentu hujung pangkalnya. Hati mereka diselubungi dengan perasaan hasad dengki yang sentiasa membara kerana mereka menganggap bahawa diri merekalah yang lebih layak ke hadapan, merekalah pemimpin yang dijanjikan. Itu hanyalah anggapan mereka sahaja.
Golongan inilah yang merupakan pengkhianat yang akan merosakkan seluruh program dan agenda Mandailing Nusantara ini. Mereka akan menggunakan segala macam alasan dan fatwa untuk merosakkan gagasan idea yang dikemukakan oleh Baginda. Jika ditanya apakah sumbangan mereka selama ini kepada masyarakat kita? Jawapannya TIDAK ADA!!
Kita harus bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi golongan durjana ini. Kita harus melengkapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan untuk berhadapan dengan pasukan perosak ini dan kita harus bertenang dan bersabar bagi menghadapi badut-badut pengacau ini.
Kita harus memperkuatkan azam dan cita-cita untuk terus berjaya. Kita tidak harus mengalah dalam apa jua keadaan sekalipun. Kita harus bersiap sedia meneruskan perjuangan ini biar apapun yang bakal terjadi. Kita harus ikhlas dan jujur tanpa mengharapkan sebarang balasan atau imbuhan untuk diri sendiri. Senjata kita ialah ketegasan dan keberanian untuk berhadapan dalam apa jua keadaan dan situasi. Badut-badut tersebut perlu dihancurkan sama sekali.
Perjuangan ini hendaklah dianggap satu warisan dan pusaka nenek moyang kita yang ditewaskan di Bukit Nanas 1873, bahawa kita adalah penyambung dan waris mutlak yang akan berjuang memulihkan martabat dan maruah bangsa Mandailing yang telah tercemar sejak 127 tahun yang lalu. Kita adalah Barisan Perjuang Kebangkitan Semula Mandailing di seluruh Nusantara ini.
Kita mesti berazam bahawa kita tidak akan mengaku kalah lagi. Kita akan pertahan cita-cita agung biar apa sekalipun akan terjadi. Bujur lalu melintang patah, namun putera Mandailing tidak akan jatuh dan rebah.
Kami telah bertekad dalam Perisytiharan Muara Sungai Pinji bahawa kami akan bangun kembali menebus martabat dan maruah kaum Mandailing di rantau ini. Apapun yang akan terjadi, PATAH SAYAP BERTONGKATKAN PARUH NAMUN KU DAKI TETAP KU DAKI. Itulah tekad kami.
Di atas tekad dan semangat juang yang begitu tinggi, saya minta orang Mandailing di rantau ini bersama-sama saya menyatakan:
“HORAS BAGINDA, HORAS RAJA NAMI, HORAS TONDI MADINGIN, PIR TONDI MATOGU, SAYUR MATUA BULUNG”